Friday, September 14, 2007

Trip Memancing- Yan Kedah

Kali ni aku nak selit sikit artikel trip memancing aku yang lepas. Asyik cerita pasal kambing pun bosan jugak...

Yan, Kedah - Satu trip memancing dari Kilang Getah Teloi Timur selama 2 hari 1 malam telah diadakan bagi memenuhi aktiviti pada cuti hari kemerdekaan yang ke-50. Trip memancing kali ini disertai seramai 5 orang iaitu Sdr. Aznee (penulis), Maktar, Zaimal (sifu), Othman dan Supian. Zaimal digelar sifu disebabkan beliau dikhabarkan mempunyai hampir 20 set batang pancing! Mulanya penulis sendiri sukar percaya, walau bagaimanapun kenyataan itu terpaksa diakui apabila penulis melihat sendiri set pancingnya yang tersusun rapi macam di kedai.


Kami bertolak ke jeti Sg. Lalang pada petang 30hb. dengan sebuah van dan Myvi dengan harapan dapat memenuhi ruang kosong kereta dengan hasil tangkapan apabila pulang nanti. Kami bergegas ke lokasi gara-gara kelewatan bertolak dari Teloi Timur (almaklum..janji orang kita). Tiba di jeti, sebuah bot 25 kaki telah bersiap sedia menanti kami untuk bertolak bagaikan sudah tidak sabar membawa kami ke lubuk syurga ikan seperti yang dijanjikan. Tekong bot yang dikenali sebagai Pak Kasim bersama-sama seorang pembantu terus membawa kami menaiki bot menuju ke destinasi pertama iaitu tuas yang memakan masa 1/2 jam. Tuas merupakan tukun buatan ditengah laut yang dipacak dengan batang buluh bagi menarik dan menghimpun pelbagai jenis ikan kecil seperti ikan kembung, selar dan lain-lain. Tiba di lokasi, penulis bersama yang lain bagaikan tidak sabar lalu melabuhkan joran masing-masing bagi menaikkan hasil tangkapan pertama. Tidak sampai beberapa minit, belasan ekor ikan telah berjaya dinaikkan ke dasar bot dengan menggunakan teknik Apollo. Masing-masing menunjukkan kehebatan masing-masing dengan menaikkan 2-4 ekor ikan serentak dengan setiap kali balingan. Penulis tidak kurang hebatnya apabila berjaya menaikkan ikan selar 5 ekor ikan sekali gus pada balingan ke-3 nya. Walau bagaimanapun, keupayaan penulis akhirnya kecundang selepas itu apabila diserang mabuk laut! Ini diikuti dengan Supian yang turut tumbang dengan mabuk laut. Kami berdua telah dijangkakan akan tumpas dengan gelora mabuk laut memandang ini kali pertama turun ke laut dalam, manakala yang lain menunjukkan keegoan masing-masing dengan meneruskan aktiviti tanpa henti dan sekali sekala tersenyum sinis dan sindir kepada kami berdua.


Di hentian pertama kami tidak lama apabila Pak Kasim mengarahkan menaikkan sauh untuk menuju ke lubuk yang lain dalam misi memburu habuan yang lebih besar, apa lagi kalau bukan Tenggiri! Ikan kembung yang diperolehi tadi akan dijadikan umpan sebagai pertaruhan oleh Zaimal & tekong bot untuk menjerat Tenggiri. Pemancing yang lain hanya diberikan misi untuk memburu ikan bersaiz sederhana dan ke bawah sahaja disebabkab tiada kelengkapan alatan yang sesuai untuk memburu ikan gred 1 seperti tenggiri, aruan tasik, senangin dll. Pada mulanya, penulis berasa agak geram apabila dinasihati supaya tidak memancing ikan tenggiri kerana hajat penulis asalnya juga ingin memburu tenggiri. Walau bagaimanpun, setelah diberitahu untuk memancing ikan tersebut sekurang-kurangnya memerlukan kabel perambut dawai, jika tidak jangan mimpi untuk menewaskan tenggiri, barulah penulis faham akhirnya.

Tiba di lubuk kedua, kira-kira 15 min perjalanan dari tuas tadi, masing-masing terus melabuhkan umpan masing-masing kecuali Supian yang masing dibuai mabuk laut. Zaimal dan Pak Kasim pula terus melabuhkan pancing berumpankan sekor ikan kembung hidup. Tidak sampai 20 min, tiba-tiba tali pancing milik tekong menjadi tegang, zaap..! disentap Pak Kasim. Sah! tenggiri..kata pak kasim. Walau bagaimanapun, perlawanan tidak sampai 5 minit, mangsa berjaya memutuskan tali utama milik Pak Kasim. Aktiviti disambung dan diteruskan. Selang 10 minit, tiba-tiba mesin kelili milik Zaimal bunyi berdensing. Tanpa membuang masa, Zaimal terus menyentap jorannya dan adegan tarik menarik pun bermula. Akhirnya tenggiri seberat 6 kg tewas di tangan Zaimal. Kami semua tersenyum puas. Kemudian, kami tersentap lagi apabila koyan yang disangkut pada batang buluh yang dilabuhkan oleh pembantu bot melentuk ganas memberi isyarat ikan besar telah terjerat. Tali tangsi setebal 2 kali raket tenis itu terus ditahan. Dengan gerak gaya mangsa melarikan tali koyan tersebut, tekong telah memberitahu mangsa merupakan seekor aruan tasik bersaiz besar! Tiba-tiba tali tegang menjadi kendur, sah putus! kata pembantu bot. Kami semua agak tekejut kerana tali sebesar begitu berkekuatan 100lbs (pound) boleh putus. Entah besar mana agaknya ikan tersebut. Mungkin tiada rezeki kami petang itu untuk melihat seekor lagi gergasi mangsa didaratkan. Jam menunjukkan 7 petang dengan matahari terbenam indah di ufuk Barat menandakan masa untuk berehat dan berlinding di pulau berdekatan.


Tiba di pulau berdekatan, kami bermalam dan terbaring keletihan di atas bot. Ramai yang telah melelapkan mata di atas lantai bot di samping menghirup udara segar malam kemerdekaan. Tak pernah dijangka oleh penulis untuk bermalam di tengah laut dan di atas bot pada malam merdeka. Teringatkan hari kemerdekaan, penulis berasakan amat bertuah dapat menghirup udara aman di bumi bertuah dan merdeka ini, 'Malaysiaku Gemilang!'.
31 Ogos 2007, ekspidisi memasuki hari ke-2 dan terakhir. Tekong membawa ke lubuk baru. 2 jam berlalu, masing-masing jorang tidak menunjukkan isyarat, cuma sekali sekala Maktar dan Othman berjaya menaikkan seekor dua gerut-gerut seberat 1/2 kg. Dalam pada masa yang agak membosankan itu, pembantu tekong terus memberi isyarat supaya berpindah ke lubuk semalam dengan harapan mempunayi tangkapan hasil seperti semalam. Tiba di lokasi, masing-masing melabuhkan umpan. Walau bagaimanapun kelibat tenggiri masih juga tidak kelihatan. Othman, Supian dan Maktar terus mencuba teknik apollo. 1/2 jam sebelum bertolak pulang, apollo masing-masing diserang ikan kembung, selar dan lain-lain. Pada masa ini, Supianpula menunjukkan belangnya apabila setiap lontarannya tidak kurang 4-5 ekor ikan melekat di mata kailnya. Jam telah menunjukkan hampir 12 tengahari, menunjukkan telah masuknya waktu kecederaan sebelum pulang. Hanya ikan-ikan kecil yang menyentap joran, Dengan tidak semena-mena, sekali lagi koyan dengan tali berkekuatan 100lbs dihenjut kuat. Sah! ikan aruan tasik bersaiz mega lagi, jerit tekong sambil terus menyuruh Maktar menahan tali koyan yang berhampirannya. Tanpa berlengah Pak Kasim yang berpengalaman terus mengambil alih mengemudi tali tangsi dengan harapan tidak terlepas lagi. 15 min berlalu, mangsa masih menunjukkan kehebatannya dengan tali tangsi memuntah keluar dari gegelung koyan sambil dibantu Zaimal. Habis sekeliling bot di bawa larinya. Tidak lama kemudian, barulah mangsa mula lemah dan timbul dipermukaan. Semua dari kami kagum sebentar dengan melihat saiznya dipermukaan yang sebesar tong cat dan panjang hampir 1.5 meter. Pembantu tekong terus bersedia untuk menaikkan ikan dengan penyangkuk panjang. Dua tiga kali dicuba tapi gagal, cubaan kali ke-4 mengena tapi penyangkuk tiba-tiba patah dek mangsa yang melawan. Mangsa terus menjunam ke dasar, dan sekali lagi tali muntah keluar dari gegelung.



Gambar Atas: 1. Posising dgn aruan tasik, mak oi! berat giler
2. Zaimal,Maktar & Othman juga x lepas peluang berpoising
3. Lain-lain ikan yg diperolehi spt; cencaru, gantang, kembung, selar dll

Pada masa inilah Zaimal yang membantu memegang tali mendapat sedikit kecederaan apabila tali tangsi bergesel di tapak tangannya sewaktu tali muntah keluar. Setelah mangsa keletihan semula, mangsa cuba dinaikkan kali kedua dengan menggunakan penyangkuk ganti stainles steel pula. Alhamdulillhah..kali ini berjaya. Masing-masing tersenyum puas dengan melihat seekor aruan tasik seberat 13kg. Mungkin ini rezeki kami sebelum bertolak pulang ke daratan.


Gambar atas: Aruan Tasik dipotong dan dibuat kenduri surau dengan masak kari kepala ikan fresh. Peh, semua makan sehingga menjilat jari..

1 Comments:

At 10:05 AM, Anonymous Anonymous said...

cis... jeles nyer...

olie

 

Post a Comment

<< Home